30 kanak-kanak sertai Sunathon percuma

MELAKA TENGAH 28 Nov. – Seramai 30 kanak-kanak berusia antara empat 12 tahun menyertai program berkhatan beramai-ramai secara percuma menerusi Program Sunathon 2019 anjuran Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi (MiCost) di sini baru-baru ini.

Program dengan kerjasama ahli jawatankuasa Surau Al-Mubarrak, Taman Pokok Mangga dan Klinik Muar 24 jam itu dimulakan dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Turut dimeriahkan dengan semburan air Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu kepada kanak-kanak terbabit bagi menenangkan kegusaran selain memberikan keseronokan kepada golongan muda itu berkhatan secara beramai-ramai.

Pengurus Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni MiCost, Mohd Aiman Mohamed Hassan berkata, pihaknya berbesar hati program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan serta berterima kasih kepada pihak yang turut menjayakan program terbabit.

“Semua peserta memberikan kerjasama yang amat baik dan tiada adegan kejar-mengejar berlaku sepanjang program berkhatan itu berlangsung,” katanya kepada MelakaKini.

Sepanjang program berkenaan berlangsung, pelbagai acara turut diadakan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan surau yang dilaksanakan pelajar Semester 5 kolej terbabit.

Turut diadakan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pemeriksaan kesihatan oleh Fakulti Sains Kesihatan serta sumbangan kepada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak yatim terpilih.

Ketua Eksekutif MiCost, TS Dr Afizan Azman berkata, program seumpama itu dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak yang turut menjayakan program terbabit.

Tambahnya, program itu bertujuan mendedahkan pelajar dan kakitangan MiCost supaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat sekeliling.

“MiCost turut merancang mengadakan Program Sunathon secara percuma di daerah lain pada masa akan datang supaya memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini,” katanya.

 

Farah Suhaidah Othman

© 2006 - 2019 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M). Follow us on