75 SISWA BAHARU MiCoST JALANI ORIENTASI MINGGU WAWASAN SISWA

 

MELAKA TENGAH 17 Dis. – Pelajar baharu Melaka International College Science and Technology (MiCOST) menerusi pengambilan yang terbaharu sesi 2019/2020 didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam orientasi Minggu Wawasan Siswa.

Program orientasi anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) manakala aktiviti program diuruskan oleh Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) MiCOST 2019/2020 yang diketuai Pengarah Program, Muhammad `Azim bin Abdullah Sani.

Minggu orientasi bermula selama tiga hari selepas sesi pendaftaraan itu bertujuan menentukan intipati dan pengisian program.

Pada masa sama, ia bertujuan memberi pendedahan serba sedikit mengenai kehidupan di kampus termasuk persekitaran, kaedah pengajian, budaya dan aspek pembinaan sahsiah.

Di samping itu, ia turut memberi persediaan kepada pelajar untuk menghindari diri daripada terjebak dengan kejutan budaya.

Ketua Eksekutif MiCOST, Ts Dr Afizan Azman berkata, minggu orientasi dilihat penting bagi pelajar yang pertama kali melangkah ke gerbang alam baru kehidupan kampus.

Katanya, banyak perbezaan yang perlu ditempuhi pelajar baharu dalam mengharungi perjalanan bergelar siswa namun setiap perjalanan pasti akan ada onak dan durinya.

“Bagi pengambilan tahun ini kolej mendedahkan penuntut dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kebanyakan kelas seperti kelas atas talian atau di alam maya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siswa baharu turut didedah dan diperkenalkan dengan budaya kehidupan serta pembelajaran di kampus.

“Penuntut juga diperkenalkan dengan pengurusan tertinggi kolej, peraturan dan etika sebagai seorang siswa serta kemudahan yang disediakan di kampus untuk kegunaan atau dimanfaatkan,” katanya.

Pada pengambilan sesi 2019/2020, MiCOST menerima kemasukan 76 siswa bagi program ‘homegrown’ Ijazah Sarjana Muda.