80 pelajar IPTS sertai aktiviti lasak

 

AYER KEROH 24 Julai – Seramai 80 peserta Pingat Gangsa Anugerah Remaja Perdana (ARP) telah menyertai Program Rakan Muda Kreatif (Penjelajahan Lasak) di Taman Ekstrem Tasik Chinchin.

Program selama dua hari itu telah bermula pada 21 Julai lalu dan telah disempurnakan Pegawai Belia dan Sukan Melaka Tengah, Norazlin Sarun.

Kesemua peserta terlibat merupakan para pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), antaranya pelajar Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST), Kolej Cosmopoint dan Kolej Antarabangsa Putra.

Norazlin dalam ucapan ringkasnya berkata, program berkenaan membuka peluang kepada peserta untuk menyertai pelbagai acara menarik di luar kelas dalam memupuk nilai murni.

“Pelbagai aktiviti telah disertai dan mampu meningkatkan kecergasan jasmani, membentuk sahsiah diri, jati diri, disiplin dan paling utama memupuk perpaduan dalam kalangan peserta yang terdiri dari lapisan kaum,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Azreen Abd. Aziz.

© 2006 - 2019 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M). Follow us on