Bapa sebak terima skrol anak

 

 

AYER KEROH 25 Feb. – Hanya Tuhan yang tahu perasaan kedua ibu bapa kepada arwah Mohammad Adib Arsyad Zainal, 22, sewaktu mewakili anak mereka untuk menerima skrol pada Majlis Konvokesyen Kelima Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST), di Seri Negeri, di sini, Sabtu lalu.

Zainal Wari, 55, bersama isterinya, Jamaliah Khamis, 55, menerima segulung diploma hadiah daripada Mohammad Adib yang juga graduan Fakulti Sains Kesihatan MiCoST yang meninggal dunia Januari lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru dan otak.

“Saya sebak apabila mendengar nama arwah diumumkan untuk menerima diploma berkenaan.

“Kehilangannya sangat dirasai ketika saya menggenggam skrol ini, lebih-lebih lagi kami tidak dapat meraikan kejayaan arwah pada hari penuh sejarah ini.

“Terbayang wajah arwah yang sentiasa ceria ketika dia masih ada apabila melihat rakan-rakannya di sini,” katanya.

Jelas Zainal, arwah yang merupakan anak ketiga dari lima beradik itu dimasukkan ke sebuah hospital di Johor Bahru 16 September lalu dan disahkan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital 25 hari kemudian.

“Bagaimanapun, arwah dimasukkan semula ke hospital pada 19 Januari lalu dan meninggal dunia lima hari kemudian,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 497 mahasiswa menerima diploma dari Fakuliti Pengurusan Perniagaan, Sains Kesihatan serta Teknologi Maklumat dan Multimedia.

Majlis penyampaian disempurnakan Exco Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri Noor Effandy Ahmad mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Hadir sama, Presiden MiCoST, Dr Afizan Azman.

Sementara itu, bagi penerima anugerah terbaik keseluruhan, Muhamad Iqbal Hakim Shamsudin, 22, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa, rakan dan pihak MiCoST yang sentiasa memberikan sokongan di atas kejayaannya.

“Jasa mereka akan terus dikenang dan saya berharap rakan-rakan graduan dapat menjaga nama baik institusi ini selepas ini.

“Walaupun sudah bergelar alumni MiCoST, tetapi kita juga masih boleh menyumbang kepada pembangunan dan kemajuannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu Dr. Azizan berkata, sehingga kini seramai 2,082 graduan telah dilahirkan di institusi itu dalam pelbagai bidang.

“Bukan sahaja mereka layak menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara selepas belajar di sini, tetapi ramai yang sudah berjaya menceburi alam karier di syarikat swasta mahupun kerajaan,” katanya.

© 2006 - 2019 MiCoST. All Rights Reserved.