GALERI SENI DAN STUDIO MiCoST TARIKAN BARU PELAJAR

MELAKA TENGAH 23 Dis. – Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) menubuhkan galeri seni bagi tujuan pengkomersialan selain menjadi tarikan baharu pelajar untuk mengetengahkan bakat dalam bidang seni.

Ketua Eksekutif MiCoST, Ts Dr Afizan Azman berkata, seiring dengan penubuhan MiCoST sebagai institusi pengajian tinggi, MiCoST memainkan peranan untuk mengetengahkan bakat pelajar dalam bidang seni.

Katanya, penubuhan galeri berkenaan menjadi platform kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kreativiti dalam bidang itu yang disifatkan setanding dengan industri semasa.

“Galeri berkenaan turut dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mendapat atau melihat hasil karya pelajar sekali gus mempromosi dan menghargai bakat pelajar MiCoST.

“Hasil karya pelajar Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia terutamanya dipamerkan dari pelbagai bentuk dan media seperti lakaran portret, lukisan, poster dan fotografi,” katanya kepada Melaka Kini.

Galeri berkenaan dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad dengan menandatangani plak pembukaan galeri secara rasmi di bangunan Graha Maju, di sini.

Terdahulu, beliau dibawa melawat studio permainan IPT berkenaan yang terletak di aras tiga bangunan terbabit.

Studio itu dibuka dengan kerjasama Joe E-Sport dan ia merupakan satu-satunya studio permainan yang menyediakan `play station’ mesra pelajar di dalam kolej.

Sejajar dengan Program Rekabentuk Permainan, studio permainan itu akan menjadi salah satu tarikan pelajar untuk masuk ke MiCoST sekali gus menyahut seruan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menggalakkan minat generasi muda dalam sukan E-Sport.

 

© 2006 - 2020 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M). Follow us on