AYER KEROH 25 Mac – Satu perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara YM Mediscience Sdn Bhd dan International Green Training Center (IGTC) dalam bidang pendidikan dan latihan seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kepakaran YM Mediscience Sdn Bhd dan IGTC dalam membangunkan saluran latihan kemahiran dilihat akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2024.
“Kerjasama strategik diantara dua pihak ini akan ditandatangani untuk tempoh tiga tahun merangkumi proses perkongsian kepakaran dalam menyediakan latihan kemahiran yang lebih cekap, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran tenaga mahir dalam negara.
“Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi (MiCost) milik penuh Yayasan Negeri Melaka di bawah anak syarikatnya, YM Mediscience Sdn Bhd merupakan pusat ilmu dengan kaedah pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan manakala IGTC menjalankan latihan kemahiran di bawah badan kawal selia Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.
“Jadi, sudah pasti kolaborasi atau usahasama kedua-duanya yang juga merupakan anak syarikat kerajaan negeri ini, dilihat mampu memperkasakan lagi hasrat dengan keperluan IR4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan MoU berkenaan di Seri Negeri, baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Noor Effandi Ahmad.
Katanya, kerjasama strategik itu mampu memberi impak kepada kelangsungan ekonomi negeri dan negara, malah dapat memenuhi keperluan sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk mengurangkan kadar pengangguran.
Jelasnya, kerjasama itu diharapkan dapat memenuhi pasaran semasa selain dapat membuka pelbagai peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada semua.