SLOT IMAM MUDA ASYRAF KONGSI ILMU DENGAN PELAJAR MiCoST

MELAKA 17 Dis. – Pelajar Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) teruja buat julung kalinya berkongsi ilmu dan pengetahuan dakwah bersama pendakwah bebas, Imam Muda Asyraf.

Menerusi Slot Imam Muda Asyraf yang diadakan sempena Exhibition Programme di perpustakaan Bangunan Graha Maju, di sini, program itu dianjurkan oleh Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) MiCoST.

Ia turut dihadiri pelajar semester 3 program MiCoST-UiTM dan staf MiCoST serta orang awam.

Ketua Eksekutif MiCoST, Ts Dr Afizan Azman berkata, program seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan mudah untuk membawa seorang pendakwah selebriti seperti Imam Muda Asyraf ke program-program yang dianjurkan di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Dengan adanya program kerjasama seperti ini dapatlah kami warga MiCoST menimba ilmu dan bertukar pandangan dengan penceramah hebat ini,” katanya.

Menerusi slot ceramah itu, turut diselitkan sesi soal jawab dan perkongsian daripada para pelajar, staf, pensyarah dan orang awam yang hadir.

Pada akhir program, Imam Muda Asyraf sempat meluangkan masa untuk melihat gerai pameran yang disediakan pelajar bagi tujuan tugasan pemarkahan selain bergambar bersama MPP MiCoST sesi 2019/2020.