AYER KEROH 6 Feb. – Lebih 1, 000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) Edu Run 2020 (MER20) yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.
Presiden MiCoST, Dr Afizan Azman berkata, karnival itu bukan sahaja terdiri daripada kalangan pelajar MiCoST sendiri malah turut disertai pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar Melaka.
Beliau berkata, melalui penganjuran sebegitu ia memberi impak positif khususnya kepada sektor Pendidikan di negeri ini sekali gus dapat merancakkan pencapaian MiCoST.
“Selain pertandingan catur, Pengucapan Awam, E-sport dan mewarna, turut diadakan pameran daripada institusi pengajian tinggi Melaka untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada pengunjung.
“Malah beberapa agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka gerai pameran termasuk Tabung Darah Negeri yang mengadakan program derma darah,” katanya.
Menurutnya, pengunjung yang hadir pada Karnival MiCoST MER20 juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan pelbagai info kesihatan berkaitan pengambilan ubat dengan betul dan selamat.
“Malah larian MER20 yang turut disertai Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau & Inovasi, Noor Effendi Ahmad turut mendapat sambutan yang amat baik apabila merekodkan lebih 800 penyertaan daripada peserta dalam dan luar Melaka,” katanya.