MER20 MiCoST TARIK 800 PENYERTAAN

 

AYER KEROH 6 Feb – Melaka International College of Science and Technology (MiCOST) mengambil inisiatif menganjurkan Melaka Edu Run 2020 (MER20) melibatkan 800 penyertaan.

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, larian bermula seawal jam 6.30 pagi itu merupakan edisi sulung MiCOST.

“Terdapat tiga kategori larian iaitu sejauh 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer.

“Tahniah buat MiCOST sebuah institut pengajian tinggi (IPT) milik Yayasan Melaka atas penganjuran larian ini di sekitar jalan utama Ayer Keroh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan Melaka Edu Run 2020 (MER20), baru-baru ini.

Pada program itu, Noor Effandi turut menyertai larian sejauh 10 kilometer.

“Saya mulakan larian pada jam 7.20 pagi dan berjaya menyelesaikan larian 10 kilometer tepat jam 8.19 pagi.

“Biasanya larian santai di trek joging Taman Botanikal ataupun Taman Bukit Serindit saya cuba adalah sekitar lima hingga enam kilometer sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Effandi turut menjemput orang ramai untuk menyertai DUN Telok Mas Run 2020 (DTM20) pada Oktober atau November ini.

 

© 2006 - 2020 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M). Follow us on