MiCoST beri sinar baharu masyarakat pedalaman

 

AYER KEROH 12 Feb. – Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) terus mengorak langkah dengan merangka dua projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu masyarakat pedalaman di Malaysia.

Objektif projek ‘Lighting Up Your Life’ bagi siri 3 dan siri 4 pada tahun ini misalnya, membantu masyarakat dan sekolah-sekolah pedalaman yang masih kekurangan infrastruktur dari segi lampu jalan dan sistem jaringan jalan raya.

Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Dr Afizan Azman berkata, projek bagi siri 3 akan dijalankan pada 15 hingga 17 Februari ini di Taman Negara, Pahang.

Tambahnya, bagi siri 4 pula, akan dijalankan pada 21 hingga 28 Julai depan di Daerah Song, Sarawak.

“Bagi siri 3, kita akan memberikan bantuan kepada masyarakat orang asli di kawasan tersebut.

“Manakala, bagi siri 4, melibatkan lapan rumah panjang yang akan dibekalkan bantuan lampu jalan solar sebanyak 54 unit,” katanya kepada MelakaKini, selepas Majlis Perlepasan Projek ‘Lighting Up Your Life’ bagi Siri 3 di Seri Negeri.

Hadir sama Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad, kakitangan MiCoST dan wakil-wakil pelajar yang akan menyempurnakan projek tersebut.

Terdahulu, bagi siri 1 dan 2, projek tersebut telah dijalankan di kawasan pedalaman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) katibas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, di Sarawak.

 

© 2006 - 2019 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M).