MiCoST IPT KE-15 SERTAI GERAKAN PENGGUNA SISWA

MiCoST (gps) : DATUK Ar. Ismail Othman (kiri) menyaksikan penyerahan sijil keahlian GPS yang disampaikan Norena Jaafar kepada pelajar MiCoST.


KOTA LAKSAMANA 28 Ogos – Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) menjadi institut pengajian tinggi (IPT) kelima belas di negeri ini menyertai Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ar Haji Ismail Othman berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) Melaka mengalu-alukan lebih banyak penyertaan IPT untuk membabitkan diri dalam aktiviti kepenggunaan.

“GPS ini adalah kumpulan yang berstruktur untuk mendidik dan mengajar pelajar khususnya penuntut IPT untuk menjadi pengguna bijak.

“Mereka ini akan menjadi mata dan telinga kepada KPDNHEP untuk menyebarkan maklumat berkaitan hak pengguna kepada kementerian itu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas menghadiri Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat MiCoST dan Pelancaran Kelab GPS di Bangunan Graha Maju di sini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri Norena Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST Akmal Abdul Manap.

Dalam pada itu, Norena berkata setakat ini seramai 15,000 invididu di negeri ini menjadi ahli bagi ‘Friends of KPDNHEP’ bagi menyalurkan maklumat berkaitan hak pengguna kepada kementerian.

“Keahlian itu terdiri daripada pelajar dan penjawat awam jabatan serta agensi kerajaan.

“Dengan jumlah tersebut, kadar kes membabitkan kepenggunaan berkurangan berbanding negeri lain sebab kita mendidik kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai hak pengguna,” katanya.

 

sumber  : Melaka Hari Ini

 

© 2006 - 2020 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M). Follow us on