MiCoST, Kolej Universiti Saito jalin kerjasama pendidikan

 

 

AYER KEROH 11 Feb. – Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi (MiCoST) dan Kolej Universiti Saito menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) bagi kerjasama dalam pembangunan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Dr. Afizan Azman berkata, persetujuan itu antara lain memberi peluang kepada pelajar MiCost sendiri untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Saito seterusnya ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan adanya Program Artikulasi misalnya, apabila tamat belajar di peringkat diploma, mereka mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di luar negara melalui Kolej Universiti Saito.

“Melalui program ini juga, pelajar diploma MiCoST hanya perlu menghabiskan tempoh dua tahun di MiCoST dan setahun di Kolej Universiti Saito melalui pemindahan kredit,” katanya.

Menurutnya, secara tak langsung ia membuktikan pendidikan di negara ini semakin berkualiti dan setaraf dengan negara-negara maju lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mou antara MiCoST dan Kolej Universiti Saito di Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Teknologi merangkap Pengerusi MiCoST, Noor Effandi Ahmad; Naib Cancelor Kolej Universiti Saito, Prof. Dr. Sulong Ahmad Kamaruddin dan Timbalan Naib Cancelor Transformasi dan Pembangunan Fakulti Kolej Universiti Saito, Dr. Vinitha Guptan.

Tambah Afizan, dengan kolaborasi dua hala itu, jangkaan untuk pelajar di peringkat diploma MiCoST untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda di Kolej Universiti Saito adalah lebih tinggi, memandangkan jurusan di MiCoST dan Kolej Universiti Saito mempunyai kebersamaan.

 

© 2006 - 2019 MiCoST. All Rights Reserved. MOE Registration Certification No: DK002(M). Follow us on