MiCoST & PPSPM LAKSANA CSR

AKTIVITI membersihkan sungai dapat meningkatkan tahap kebersihan di Sungai Melaka.

 

BANDARAYA MELAKA 21 Sept. – Seramai 80 kakitangan dan pelajar Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) termasuk kakitangan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang persisiran Sungai Melaka Fasa 2, baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Muhd Ariff Osman, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dilaksanakan bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada para pensyarah, kakitangan serta pelajar MiCoST tentang manfaat yang diperolehi dalam melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan.

Menerusi program yang diadakan ini juga jelasnya, akan dapat mewujudkan tanggungjawab sosial di kalangan pensyarah, kakitangan serta pelajar MiCoST di samping mendorong mereka untuk melaksanakan aktiviti berfaedah dalam meningkatkan tahap kebersihan di kawasan persekitaran mereka.

“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran di kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar mengenai pentingnya penyertaan dalam khidmat masyarakat di samping mewujudkan semangat kerjasama dalam melaksanakan aktiviti CSR.

“Program ini juga dilihat mampu menambah keprihatinan serta komitmen di kalangan pensyarah, kakitangan termasuk pelajar MiCoST terhadap kebersihan, keindahan, keceriaan selain menghargai kemudahan yang telah disediakan,” ujarnya.

Program turut mendapat kerjasama Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, SWCorp Negeri Melaka dan anak syarikat PPSPM, Sungai Melaka Ventures (SMV).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Akmal Abdul Manap; Ketua Pegawai Operasi PPSPM, Abdul Wahab Ibrahim dan Pengurus Besar SMV, Azmi Khamis.

 
Sumber : Melaka Hari Ini