‘MyHome Care Visit’ perlu diperluas ‘

 

 

CHENG 25 Feb. – ‘Program MyHome Care Visit’ dilihat berkesan dan perlu diperluas agar segala informasi kesihatan dapat disampaikan kepada golongan sasaran.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Leong berkata, menerusi program itu juga akan dapat menyebarkan informasi mengenai kesihatan secara am dan ubat-ubatan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada masyarakat setempat dengan lebih bersistematik.

Menurutnya, malah ia dapat menggalakkan wakil masyarakat mengaktifkan diri dalam menyampaikan maklumat-maklumat asas berkaitan pengurusan ubat-ubatan.

“Pelantikan Duta Kenali Ubat Anda yang dilantik dalam kalangan wakil komuniti juga dapat dijadikan faktor penting untuk menyampaikan cara penggunaan ubat secara berkualiti.

“Duta-duta yang ditauliahkan itu telah diberi modul latihan secara berstruktur bagi memastikan penyampaian maklumat kepada orang awam secara tepat dan betul dapat disampaikan,” katanya.

Chee Leong berkata demikian semasa berucap merasmikan Program MyHome Care Visit bersama Duta Prihatin Masyarakat di Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Cheng, Sabtu lalu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Bahagian Perkhidamatan Farmasi, Normah Talib; Pengerusi Program MyHome Care Visit, Halisah Kasdi; Timbalan Penguasa Rumah Seri Kenangan Cheng, Azli Aziz, duta-duta Kenali Ubat Anda serta pelajar MiCoST.

Sempena Program MyHome Care Visit, peserta juga menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama penghuni Rumah Seri Kenangan.

Chee Leong memberitahu, penglibatan pelajar universiti dalam program itu juga dapat melahirkan generasi yang prihatin dengan masyarakat sekeliling.

Jelsnya, beliau berharap program MyHome Care Visit dapat diperluaskan kepada pusat jagaan yang lain bagi memberikan peluang kepada lebih ramai profesional kesihatan dan orang perseorangan untuk terlibat sama dalam program sedemikian.