inisiatif Kit Wuduk buat pesakit (Program Ziarah Sosial HTAA, Kuantan)

 

 

PELAJAR Kolej Antarabangsa Sains Dan Teknologi Melaka (MiCoST) mengambil inisiatif melakukan kutipan dana bagi menyediakan kit wuduk khusus untuk pesakit di hospital.

Kit wuduk berkenaan mengandungi botol penyembur air, debu tayammum dan sanitasi berharga RM30.

Wakil Pertubuhan Sukarelawan Sebaran Budi (Budi Foward) Hani Suhaila Ramli berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi memudahkan pesakit di hospital melakukan ibadah harian dan ia dibeli menggunakan sumbangan orang ramai dikutip pelajar MiCoST.

 

“Kit wuduk ini memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada pesakit mengenai cara untuk berwuduk dan menunaikan solat walaupun mereka terlantar sakit.

“Kami agihkan kit ini yang turut mempunyai panduan ringkas mengenai cara berwuduk tanpa ke bilik air dan proses itu boleh dilakukan dengan bantuan ahli keluarga yang menjaga mereka,” katanya

Hani Suhaila berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Projek Ziarah Hospital Malaysia anjuran MiCost dan Budi Foward di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif MiCoST Dr Afizan Azman.

Katanya, pihaknya turut menyerahkan bunga segar kepada pesakit untuk memberikan keceriaan dan diharapkan dapat menaikkan semangat mereka sepanjang proses pemulihan.

Dalam pada itu, Hani Suhaila berkata, Kempen Projek Ziarah Hospital Malaysia yang dilaksanakan sejak 2016 sudah menjelajah ke lapan hospital di seluruh negara.

“Kita akan teruskan dan membuka peluang menerusi pakej projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada syarikat swasta atau individu yang ingin melaksanakan usaha murni ini kepada golongan memerlukan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 11:26 AM

 

Shahrinnahar Latib
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.