Program CSR MPP MiCoST santuni masyarakat Kampung Chinchin

 

JASIN 14 Sept. – Seramai 30 sukarelawan terdiri dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) termasuk Penyelaras Program menyertai program Corporate Social Responsibility (CSR) MPP MiCoST ‘Santuni Masyarakat Kampung Chinchin’ di Kampung Chinchin di sini, baru-baru ini.

Penyelaras Program yang juga Pegawai Kaunseling yang berdaftar, Muhammad Nurul’Alimin berkata, program itu merupakan salah satu slot dalam program Kem Kepimpinan MPP yang diadakan tiga hari di Kem Lambaian Danau, Jasin, Melaka.

Menurutnya, objektif khidmat masyarakat ini bertujuan melatih dan mengajar ahli-ahli MPP agar berkeupayaan membantu dan bergaul dengan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama serta memupuk nilai-nilai moral untuk membina tingkah laku yang baik.

“Di samping itu juga, program ini dapat memantapkan lagi kemahiran kepimpinan mereka melalui contoh teladan dan perhubungan yang terbuka antara pelajar dan masyarakat luar, sekali gus menimba banyak pengalaman baharu.

“Antaranya, mempelajari kehidupan suasana berbeza dari apa yang mereka selalu jalani, belajar bersyukur dengan apa yang dimiliki, bekerja dengan penuh keikhlasan dan juga kebahagiaan menjadi lebih bermakna apabila berjaya membahagiakan orang lain dengan melakukan kebaikan terhadap mereka,” katanya kepada MelakaKini.

Aktiviti itu dibahagikan kepada lima kumpulan, setiap kumpulan diberikan sebuah keluarga menjalankan khidmat masyarakat mereka di rumah keluarga terbabit selain bergotong-royong bersihkan kawasan dalam dan luar rumah.

Para peserta kemudiannya beramah mesra bersama keluarga angkat masing-masing selain menyumbangkan bantuan dan cenderahati sebagai tanda kenangan dari pihak MiCoST.

Sementara itu, penduduk Kampung Chinchin gembira kerana ini merupakan kali pertama pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) datang dan melakukan aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat di kampung tersebut.