SASAR UNIMEL TERLAKSANA AWAL 2021

PENGERUSI Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) Negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad

 

AYER KEROH 22 Sept. – Penubuhan Universiti Melaka (UNIMEL) disasarkan akan terlaksana selewat-lewatnya pada Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, setakat ini pihaknya masih dalam proses menyiapkan kertas kerja mengikut kriteria yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, majoriti kriteria yang diperlukan sudah dilengkapkan dan kini hanya tinggal kira-kira empat atau lima kriteria sahaja lagi yang belum dicapai.

“Jadi, kita punya sasaran ialah menjelang hujung tahun kita nak cuba pastikan semua kriteria yang ditetapkan KPT dapat kita capai yang mana sekarang ini pihak kita bersama-sama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) sedang menyiapkan segala kehendak yang diperlukan.

“Jadi, doa-doakanlah selewat-lewatnya awal Januari 2021 nanti kita dapat buat pengumuman bahawa UNIMEL ini terlaksana,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi guru-guru Sekolah Rendah Agama JAIM di MITC.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan UNIMEL, Noor Effandi berkata, pihaknya juga bercadang untuk menawarkan lebih banyak program-program baharu terutamanya di peringkat pasca siswazah, sarjana dan doktor falsafah (PHD).

“Kita cuba nak jadikan UNIMEL yang baharu ini berada di mana-mana seluruh negeri Melaka. Sasaran kita untuk menjadikan Institut Tun Perak (ITP) di Batu Berendam sebagai tempat pasca siswazah.

“Manakala, Ketua Menteri juga turut mencadangkan agar Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Linggi diwujudkan satu Fakulti Kejuruteraan Marin. Jadi, kita berusaha untuk ke arah itu dan mewujudkan lebih banyak program-program relevan dengan kehendak semasa,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, UNIMEL bakal menjadi universiti penuh pertama milik Kerajaan Negeri Melaka melalui gabungan dua buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu KUIM dan MiCOST.

 

Sumber : Melaka Hari Ini