KUALA SUNGAI BARU 9 Jan. – Kejohanan Futsal Piala YB Exco Pendidikan melalui kerjasama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan Melaka International College of Science and Technology (MICOST) telah diadakan, baru-baru ini.
Program diadakan di Stadium Thariq Ziyad, KUIM itu bakal melahirkan pelajar yang aktif bersukan dan menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad berkata, kejohanan disertai 48 pasukan dari seluruh negara itu mendapat sambutan menggalakkan pada setiap acara yang disertai mereka.
Katanya, penyertaan begitu ramai merupakan satu platform dalam menjaga kepentingan kesihatan diri.
“Program bermakna ini, sekali gus memupuk ukhuwah setia kawan dalam diri pelajar dan memastikan impian mereka mencapai kemenangan dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Kejohanan Futsal Piala YB Exco Pendidikan, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Presiden MiCoST, Dr. Afizan Azman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Inovasi KUIM, Dr. Asnul Dahar Minghat; Timbalan Naib Canselor Pembangunan Korporat, Zamzuri Abd. Majid dan lain-lain.
Pada program itu, juara keseluruhan diungguli pasukan TOT United, manakala Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menyandang tempat kedua dan Politeknik Port Dickson tempat ketiga.